DR MAZA Mufti Perlis
Hari ini telah pergi menemui Ilahi seorang pejuang yang bersungguh
sepanjang hayatnya mewakaf diri untuk dakwah mengajak non-muslim kepada
Islam. Beliau al-Fadhil Ustaz Abdul Wahab Ahmad.
Setiap kali saya
bertemu beliau, saya rasa amat kerdil diri dibandingkan kesungguhannya
dalam dakwah. Beliau tidak berdiri di pentas-pentas besar dan ternama
dengan jemputan yang gah, tapi beliau menuruni lurah, hutan dan lembah
mencari hamba-hamba Allah yang belum beriman untuk dijemput kepada Islam.
Saya alhamdulillah pernah sempat bersama beliau di Utara Thailand,
menaiki bukit bukau dan pendalaman, mencari mereka yang belum tahu 'apa
itu Islam?'.
Hasil dari usahanya, ramai yang menganut Islam dan
gerakan dakwah kepada Islam untuk orang asli di dalam dan luar negara
menjadi semakin makmur.
Pertubuhan IQ pernah memberikan anugerah
tokoh dakwah kepada beliau dan kita mewarisi khazanah dakwah beliau yang
berharga. Sehingga hari ini alhamdulillah usaha dakwah ini berterusan.
Saya tidak pernah melihat amarah di wajah Ustaz Abdul Wahab Ahmad r.h.
Hanya senyum dan semangat yang tidak luntur sentiasa di muka dan nada
suaranya. Bicaranya tenang dan halus bahasanya.
Beliau pergi
meninggalkan kita, namun dakwah tidak akan mati dengan matinya dai. Kita
mesti meneruskan usaha mulia beliau dan semangat pengorbanannya yang
tinggi.
Semoga Allah memberikan kita semua keikhlasan dan
menempatkan beliau dalam kalangan golongan solihin, para pejuang Islam
yang mukhlisin.