Catatan Kamal Hisham Jaafar


Peguam. Terpenjara. Akibat Perjuangan.
Kamal Hisham Jaafar
Fikirku Yang Panjang…
Fikiranku melayang lagi sambil menatap tembok sempit kurungan lokap cawangan khas polis yang hanya ada ruang sebesar kotak mancis untuk cahaya masuk. Aku sudah tidak larat memikirkan nyamuk yang menggigit seluruh tubuhku yg dikurung bertelanjang tinggal hanya seluar dalam. Kesempitan kurungan dan pembogelan aku ini untuk apa? Mengapa begini ketat sampai aku tidak diberikan pakaian untuk solat menutup aurat?
Aku sedar ini percaturan manusia yang mahu menghukum aku kerana aku menyuarakan tentangan terhadap kejahatan mereka. Tapi aku juga sedar ini semua berlaku hanya dengan izin Yang Maha Esa. Tuhanku yang mengizinkan manusia ciptaanNya menzalimiku begini. Aku fikir lagi… Dosaku yang manakah sedang Allah hukum di duniaNya yang sementara?
Aku bukannya insan sempurna yang hanya penuh kebajikan sepanjang usiaku. Ya aku tahu dan kenal siapa diriku. Aku tidak maksum terpelihara dari dosa. Antara aku dengan Tuhanku, itu urusan kami berdua. Antara aku sesama manusia, itu juga dalam rencana dan kekuasaanNya. Allah Tuhanku mengujiku sebegini kerana aku milikNya. Aku terima sepenuh hati Tuhanku berhak mengizinkan apa sahaja musibah ke atas diri ini.
Aku redha. Aku tak kecewa dengan TaqdirNya. Aku percaya Dia Maha Bijaksana. Aku yakin semua ini ada hikmahNya. Duhai Tuhan… semoga ujianMu ke atasku ini tidak Dikau persiakan melainkan dosa-dosaku kepadaMu Dikau ampunkan.
Aku hanyalah seorang manusia. Sudah tentulah aku punya batas kesabaran. Sudah tentunya aku juga punya titik kelemahan. Aku masih punya rasa sebagai manusia yang tidak suka dizalimi. Aku cuma tidak mahu mengangguk setuju kepada ketidakadilan di depan mataku, disaat Tuhanku sudah pun memberiku kesempatan mempelajari ilmu perundangan kerana jika aku berbuat begitu, jelas aku menzalimi diriku sendiri.
Kurungan ini memaksa akalku berfikir seorangan. Lokap ini memaksa aku terima nyamuk sebagai teman.
Dalam diam hatiku hanya terdaya pasrah dengan TaqdirNya. Inilah resam pejuang kebenaran. Ingatanku terus menerawang kisah-kisah penyeksaan dan kezaliman kepada para pendukung panji kebenaran sepanjang zaman yang pernah aku ketahui.
Aku teringat kisah Rasulku yang juga dizalimi pembesar bangsanya sendiri akibat tegar mendukung kebenaran dalam usaha dakwahnya. Terngiang di telingaku kisah para Imam Mazhab yang semuanya pernah dizalimi, dipenjara dan diseksa kerana teguh percaya kepada kebenaran.
Kisah Imam Abu Hanifah pernah aku baca sebelum aku terkurung di sini. Betapa seorang Imam Mazhab yang diiktiraf sekalian ummat juga pernah diseksa penguasa sehingga matinya shahid disebat di penjara hanya kerana beliau tetap lantang menegakkan kebenaran.
Kemudian terbayang pula wajah temanku sewaktu di Madinah yang pernah bercerita kisah Imam Malik yang ditangkap oleh penguasa yang marah kerana beliau tetap mengajarkan Hadith Rasulullah s.a.w berkaitan talak yang tidak sah dengan paksaan. Akibat tidak mahu mendiamkan diri dan bersetuju dengan pemerintah berkenaan perkara talak paksa ini, Imam Malik ditangkap, disebat malah dimalukan di atas unta dan diarak sekeliling kota Madinah.
Mengingatkan kisah-kisah para Imam Mazhab Ahlussunnah ini semua, hatiku kembali tenang. Hari demi hari aku lalui dalam penjara sempit dan gelap ini sehingga kesihatanku terganggu dengan demam denggi.
Berterusan 15 hari dalam lokap cawangan khas tanpa ruang membela diri mahupun ikat jamin meskipun pertuduhan ke atasku hanyalah terkait kesalahan komersil berkenaan pemilik sewa premis kedai dan kos guaman. Itu pun dengan pertuduhan rekaan semata-mata.
Aku jadi manusia pertama dalam dunia perundangan yang dilayan seperti penjenayah kriminal walau hanya berdepan tuduhan fitnah perkara sivil terkait urusan syarikat. Tidak pernah lagi tercatat di mana-mana mahkamah di dalam dunia ini seorang yang dituduh kes sivil begini diikat jamin bernilai RM700 ribu untuk ikat jamin pertama dan kemudian dibatalkan dan dinafikan ikat jamin tersebut sewenangnya.
Setiap kali hadir ke mahkamah, aku digari dan diiringi sekitar 30 orang pegawai polis. Aku sedar aku berseorangan menghadapi kezaliman dan ketidakadilan ini kerana permainan hamba Allah yang berdendam dengan tentanganku terhadapnya dalam usahaku menegakkan kebenaran.
Namun aku yakin aku tidak bersendirian. Aku percaya doa keluarga, sahabat dan teman-teman sentiasa bersamaku. Aku percaya para Malaikat utusan Allah sentiasa memerhatikanku… Justeru aku harus kekal ikhlas kerana kelak para Malaikat pencatit amalanku ini akan melaporkan segalanya kepada Tuhanku.
Terimalah perjuangan hambaMu yang hina ini duhai Tuhan. Andai taqdirMu menetapkan akhir hayatku dalam kezaliman, aku mohon kepadaMu Tuhan… bangkitkanlah pejuang pelapis yang akan terus menegakkan kebenaran. Wallahi aku percaya kpd JanjiMu bahawa apabila datang kebenaran yg Haq maka akan musnahlah kebatilan.
La hawla wa la quwwata illa billah.... Tiada daya dan upaya selain Allah. Hasbi Allah wa ni'mal wakil.
Tahniah JDT. Juara AFC 2015
 https://www.facebook.com/photo.php?fbid=920243521415989&set=a.151956761578006.33162.100002910487035&type=3&theater