Kamal Hisham ditahan.

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini memerintahkan peguam Kamal Hisham Jaafar ditahan di Pusat Tahanan Ayer Molek, di sini, sehingga tamat kes perbicaraannya.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan berkenaan selepas melakukan semakan semula terhadap ikat jamin yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen, sebelum ini terhadap Kamal Hisham, 45.

Mohd Sofian berkata, berlaku kekhilafan dalam pemberian ikat jamin yang dibenarkan Mahkamah Sesyen selepas melihat hakim tidak mempertimbangkan hujah pendakwaan berkenaan kecenderungan tertuduh untuk melarikan diri lagi selepas pernah menghilangkan diri selama lebih tiga tahun.

"Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati berlaku kekhilafan yang mana Hakim Mahkamah Sesyen tidak mempertimbangkan tentang kecenderungan tertuduh untuk melarikan diri," katanya.